KUCHING, 24 Jan: Wanita kesunyian dan berusia sekitar 50 tahun sasaran utama sindiket penipuan cinta atau ‘love scam’ yang banyak memerangkap dan memperdaya wanita di Sarawak.
Menurut laporan TVS, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKKK) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dua faktor berkenaan menjadi modus operandi sindiket tersebut.
“Sekarang ini pun kita kongsikan di media sosial, maklumat tentang scammer, apa yang dilakukan oleh scammer ini termasuk kumpulan sasarannya dan lingkungan umur.
“Memang dikatakan scammer ini mereka mengaku fokus mereka memang terhadap wanita, yang kesunyian berumur 50 ke atas,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina Bahagian Limbang di Lawas pada Selasa.
Tambah Fatimah, golongan ini juga kebiasaannya turut menyasarkan sasaran wanita yang sudah berpencen serta mereka memiliki banyak sumber kewangan.
Selain ‘love scam’, terdapat juga kes wanita di Sarawak turut menjadi mangsa penipuan pekerjaan atau ‘job scam’ yang menyasarkan wanita lebih muda.
Wanita-wanita ini katanya akan direkrut oleh sindiket berkenaan dengan kaedah serta skrip penipuan tertentu bagi memperdaya mangsa. — DayakDaily