LIMBANG, Okt 22: Seorang wanita yang kecewa ditipu kekasihnya dipercayai cuba untuk membunuh diri dalam satu kejadian di Jalan Keramat di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa yang berusia 43 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis dan bomba.
Menurut sumber, wanita berkenaan disyaki bertindak cuba membunuh diri dengan menelan pelbagai jenis ubat yang dibeli dari farmasi di bandar di sini.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, ketika mangsa ditemui mangsa berada di dalam sebuah kereta Perodua Myvi.
“Siasatan awal mendapati mangsa bertindak sedemikian kerana kecewa dengan tindakan kekasih yang menipu dirinya.
“Buat masa ini, keadaan mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya. — DayakDaily