Wanita ditangkap buka kaunter loteri haram di rumahnya di Paku, Bau

Anggota polis melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan.

BAU, Nov 9: Tindakan berani seorang wanita membuka kaunter jual beli loteri haram di rumahnya di Paku, di sini mengundang padah apabila dia ditangkap dalam serbuan ‘Ops Dadu’ semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata suspek, 45, ditangkap oleh sepasukan anggota penguatkuasa dari Bahagian Siasatan Jenayah dalam satu operasi sekitar jam 5.21 petang.

Menurutnya, suspek ketika ditahan disyaki sedang menjual tiket loteri awam tanpa lesen di perkarangan rumahnya.


“Bertindak atas maklumat, satu serbuan dilakukan dan berjaya menangkap seorang wanita disyaki ejen jualan loteri awam tanpa lesen.

“Pasukan operasi turut merampas dua telefon bimbit, keratan kertas yang tertulis angka-angka dan sejumlah wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 4(A)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM 50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun penjara jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.

Poge selain itu menyeru orang ramai untuk melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berhubung kegiatan menjual loteri haram.

“Laporkan kepada kita agar tindakan dapat segera dapat diambil,” katanya. — DayakDaily