Wanita dikhuatiri dibaham buaya ketika mandi di Baram

Operasi mencari mangsa di lokasi kejadian.

MIRI, 2 April: Seorang wanita berusia 30an dilaporkan hilang dan dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang mandi di Sungai Peking Tinjar, Baram di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.30 tengah hari.

Beliau memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dikejarkan ke lokasi kejadian dengan diketuai Pegawai Bomba Kanan Ellai Bidang.

“Mangsa dilaporkan disambar buaya ketika sedang mandi di sungai berdekatan rumah panjang Rumah Mathis Depa, pada jam lebih kurang 11.30 hrs.

“Pelapor memaklumkan mangsa mandi bersama anaknya. Semasa anaknya naik ke darat untuk mengambil baldi, mangsa dilihat dibaham buaya oleh penduduk kampung yang berada berdekatan kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehingga berita ini ditulis, difahamkan Bomba masih dalam perjalanan ke lokasi kejadian dan penduduk kampung sedang berusaha mencari mangsa.

“Jarak dari balai bomba ialah 141 kilometer dan mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk sampai,” katanya.

Identiti mangsa juga masih belum diketahui. — DayakDaily