Wanita di Batang Sadong diingat tidak lupa tanggungjawab mengundi

Nancy (kanan) menyerahkan cakera padat kepada Awla (dua kiri) sebagai simbolik pelancaran koleksi lagu-lagu yang pernah beliau dendangkan.

SIMUNJAN, Mei 1: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata wanita merupakan golongan yang penting dalam sesebuah keluarga malah turut memberi sumbangan yang besar kepada peningkatan ekonomi negara.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Batang Sadong itu memberitahu, peranan wanita bukanlah sekadar menjadi ibu dan isteri bahkan memberi impak yang besar kepada pembangunan sesebuah masyarakat atau negara.

Jelasnya, wanita adalah sumber inspirasi, dan sebaik-baik wanita adalah mereka yang bijak berdikari dan mempunyai sumber pendapatan sendiri dalam memajukan diri malah membantu meningkatkan pendapatan keluarga mereka.


“Tiada lagi istilah wanita hanya di dapur malah golongan wanita pada masa kini memerlukan mereka untuk berfikiran secara matang dan menyahut dasar-dasar kerajaan dalam mengetengahkan kepentingan wanita.

“Sehubungan itu, saya menyeru golongan wanita di sekitar kawasan Parlimen Batang Sadong ini agar tidak melupakan tanggungjawab untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan suara masing-masing didengari oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Jom Zumba Sihat anjuran Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dan SABERKAS di perkarangan Padang Central Simunjan di sini semalam.

Tambah Nancy, program yang dianjurkan adalah satu usaha untuk mengumpul golongan wanita daripada pelbagai persatuan dan kumpulan bagi berkongsi maklumat dan pendapat di samping beriadah.

Ini kerana katanya, wanita juga memainkan peranan sebagai ejen perubahan dan penyatuan rakyat apabila wanita dijadikan sumber inspirasi bukan sahaja kepada anak-anak, keluarga dan masyarakat malah kepada negara.

“Banyak impak positif yang telah dibawa melalui program wanita termasuk peningkatkan ilmu dan pengetahuan mereka daripada pelbagai sudut,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata manifesto BN Sarawak juga mengiktiraf peranan wanita sebagai rakan kongsi dalam membangunkan negara dan membantu menjana peluang perniagaan kepada golongan belia, wanita dan usahawan melalui ekonomi digital.

Pada masa sama, Nancy turut melancarkan koleksi lagu-lagu yang pernah beliau dendangkan dan sering dinyanyikan terutama dalam majlis-majlis yang beliau hadiri.

Seramai lebih kurang 500 orang telah membanjiri Padang Sentral Simunjan bagi memeriahkan Program Jom Zumba Sihat yang berlangsung semalam. — DayakDaily