Wanita cemas, kereta terbabas lalu terbalik

Anggota bomba melihat keadaan sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Julai 8: Seorang wanita berdepan dengan detik mencemaskan apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu terbalik di Jalan Pesisir Bintulu-Miri, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia 26 tahun mengalami kecederaan ringan

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.32 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian didapati benar kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Berdasarkan maklumat saksi, mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dia dibawa ke hospital,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, tiada operasi penyelamatan dijalankan sebelum pasukan bomba balik semula ke balai. — DayakDaily