Wanita cemas, kereta dipandu tiba-tiba terbakar

Anggota bomba sedang memadam kebakaran melibatkan sebuah kereta.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Dean Adam

SIBU, Jun 3: Seorang wanita berdepan dengan detik mencemaskan apabila kereta Hyundai Atos yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan Ling Kai Cheng di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, wanita berusia 35 tahun tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.52 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kereta berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu kereta itu berjaya menyelamatkan diri sebelum api membakar kenderaan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama, berdasarkan laporan diterima, sebelum kejadian wanita berkenaan dikatakan dalam perjalanan ke arah pusat bandar Sibu.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan.

“Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 10.23 pagi,” katanya. — DayakDaily