Wanita cedera, kereta terbabas di Jalan Bako

Keadaan kereta mangsa yang terbabas ke dalam parit.

KUCHING, 5 Sept: Seorang wanita dilaporkan mengalami kecederaan ringan selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Bako, di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.33 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaga segera dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan sebuah kereta telah terbabas masuk ke dalam parit.

“Pemandunya iaitu seorang wanita berjaya keluar dari dalam kereta dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang cedera kemudian diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke hospital. — DayakDaily