Wanita cedera dibelasah abang kandung

Suspek tolak adik ditahan pihak polis.

Brad Rantayy

MIRI, 20 Okt: Tindakan seorang lelaki menolak adik perempuannya sehingga cedera di kepala gara-gara sebuah televisyen membawa padah, apabila dia ditahan polis untuk siasatan pagi Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah tangkapan dilakukan susulan satu laporan polis dibuat oleh mangsa selepas kejadian berlaku di sebuah rumah sewa di Jalan Malva Sungai Baong, Krokop di sini pada petang Isnin (19 Oktober).


Suspek, berusia 43 tahun itu telah ditahan sekitar jam 9 pagi (20 Oktober) di tepi jalan Kawasan perkuburan Cina Sungai Baong, Krokop.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4.45 petang Isnin itu, suspek telah menolak adik perempuannya yang berusia 38 tahun selepas cuba menghalang suspek daripada mengambil televisyen di dalam rumah berkenaan.

Pertelingkahan telah berlaku antara suspek dan mangsa sehingga berlaku kejadian tolak menolak dan ekoran pertelingkahan itu, mangsa telah ditolak jatuh ke lantai oleh suspek.

Dalam kejadian, suspek telah mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan terhadap mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.—DayakDaily