SIBU, Sept 5: Seorang wanita cedera di bahagian mata dan kakinya selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Lada di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.18 petang itu, sebuah kereta Toyota Vios dikatakan hendak masuk ke sebelah jalan lalu melanggar motosikal mangsa.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bahagian Sibu, Sarjan (PA) Jaffry Asai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.20 petang.
Jelasnya, sejurus mendapat maklumat insiden berkenaan, sepasukan empat anggota APM Sibu telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi susulan.
“Apabila tiba di lokasi sembilan minit kemudian, anggota APM mendapati seorang wanita dalam keadaan terbaring di atas jalan raya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dia mengalami kecederaan pada mata dan kaki kanannya akibat kemalangan itu,” katanya di sini hari ini.
Jaffry menambah, pemandu Toyota Vios itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, anggota APM kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak polis juga dimaklumkan mengenai kejadian tersebut untuk tindakan lanjut,” ujarnya. — DayakDaily