Wanita Brunei temui ajal dalam kemalangan

Kelihatan sebuah van yang terlibat dalam kemalangan.

Oleh Dean Adam

SIMUNJAN, April 7: Nasib malang menimpa seorang wanita warga Brunei apabila dia maut selepas sebuah van yang dinaiki bersama enam individu terlibat dalam kemalangan di KM105, Jalan Kuching-Sri Aman-Simunjan, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu telah mengakibatkan mangsa, Aslinda Abdullah, 61, mengalami kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, bagaimanapun mangsa hanya disahkan meninggal dunia pada pukul 5 pagi semasa sedang mendapatkan rawatan di Hospital Serian di sini.

Menurutnya, sebelum kejadian, van Nissan Urvan yang dinaiki mangsa bersama enam orang termasuk pemandu dikatakan dalam perjalanan dari arah Sri Aman ke Simunjan.

“Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu oleh lelaki yang berusia 68 tahun dikatakan telah terbabas di bahu jalan.

“Van tersebut terbabas selepas dikatakan mengelak daripada merempuh sebuah kenderaan lain yang memasuki laluan mereka,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Hospital Serian.

Katanya, enam individu lain pula dikatakan mengalami kecederaan ringan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily