33 penduduk tinggal sehelai sepinggang, bangunan didiami terbakar

Pasukan bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KANOWIT, April 7: Seramai 33 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman yang didiami mereka yang terletak berhampiran Pasar Machan terbakar, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu telah mengakibatkan enam buah keluarga terjejas


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan.

Katanya, apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman di situ.

“Pasukan bomba segera melakukan operasi memadam bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadam kebakaran.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily