Wan Junaidi yakin tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah akan dibuat

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 19 Julai: MP Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin kajian dan pelaksanaan tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sarawak dan Sabah akan dibuat.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersetuju bahawa komposisi kerusi Parlimen perlu dikaji semula dan satu tindakan diambil sekarang.


“Kita perlu faham bahawa terdapat kawasan Parlimen di Sarawak yang sebegitu besar. Sebagai contohnya kawasan Baram yang lebih besar dari negeri Pahang.

“Untuk kawasan seperti ini, sudah tentu lebih wajar dipecahkan dan seharusnya lebih ramai wakil rakyat dilantik bagi mewakili penduduk di situ,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Junaidi, perkara berhubung perwakilan satu pertiga keseluruhan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak tidak dinyatakan dengan jelas di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Malaysia.

Sungguhpun begitu jelas beliau, ia disebut di dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Antara Kerajaan yang mana ia dicerminkan di dalam komposisi ahli Parlimen Malaysia pada tahun 1963 hingga 1965.

“Selepas Singapura meninggalkan Malaysia, kekosongan ini telah diisi oleh Semenanjung dan bukannya Sabah dan Sarawak.

“Oleh yang demikian kita dapat melihat, kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak kini adalah kurang daripada satu pertiga di Dewan Rakyat,” ujar Wan Junaidi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru memaklumkan bahawa Sarawak akan terus memperjuangkan haknya dalam mendapatkan semula peruntukan satu pertiga daripada keseluruhan 222 kerusi di Parlimen.

Menurut Abang Johari, ia penting bagi negeri itu untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan serantau selepas Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada 1965.-DayakDaily