Wan Junaidi: Medac realisasi hasrat Sarawak jadikan PNK dan PPK sebuah koperasi

Wan Junaidi (tengah) merakamkan kenangan bersama wakil-wakil penerima bantuan Suruhanjaya Koperasi Malaysia

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Sept: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) dan Pertubuhan Perladangan Kawasan (PPK) sebuah koperasi.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dengan berdaftar sebagai koperasi PNK dan PPK bakal menikmati kemudahan-kemudahan yang disediakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Pelbagai kemudahan daripada yang kecil sehingga besar dan bernilai disediakan SKM kepada koperasi di seluruh negara.

“Inilah sebab kenapa banyak koperasi di Malaysia berkembang serta maju dan lebih 100 koperasi begitu maju dengan aset beratus juta ringgit,” katanya.


Wan Junaidi berkata demikian pada sidang media selesai merasmikan penutupan Seminar Pembangunan Pertanian Koperasi Negeri Sarawak di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurut beliau, hasrat kerajaan negeri itu disampaikan Timbalan ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada pertemuan mereka awal September lepas.

Di samping itu tambah Wan Junaidi lagi, Medac ingin meningkatkan sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ia juga membantu meningkatkan tahap ekonomi ahli-ahli koperasi agar keluar dari kumpulan B40 dan menjadi N40.

“Saya berpandangan bahawa koperasi merupakan platform terbaik untuk mengubah taraf hidup anggota melaluipeningkatan pendapatan yang dijana menerusi aktiviti berkoperasi,” tegas Wan Junaidi.

Seminar telah dihadiri lebih kurang 200 anggota koperasi, ahli-ahli PPK dan PNK daripada seluruh negeri.

Antara lain tujuan penganjurannya adalah untuk menubuhkan koperasi di kalangan 18 PNK dan 28 PPK di Sarawak.

Pada majlis itu, Wan Junaidi turut menyampaikan bantuan pembangunan koperasi, tabung modal pusingan dan insentif jualan harga patut kepada wakil-wakil penerima.-DayakDaily