Wan Junaidi: Bank SME memperkenalkan Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bln

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (file photo)
Advertisement

KUCHING, 5 Julai: Bank SME hari ini memperkenalkan Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ia akan menjadi Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) pertama di negara ini yang menerbitkan Sukuk Kelestarian.

Katanya, ia bagi memenuhi keperluan dana dan modal kerjanya.

Advertisement

“Penerbitan Sukuk Kelestarian oleh Bank SME adalah tepat pada masanya terutamanya sewaktu krisis ini berlaku.

“Di mana terdapat keperluan untuk menyeimbangkan antara menjalankan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan dan melakukan kebaikan bagi memenuhi tanggungjawab kami terhadap faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Wan Junaidi, usaha Bank SME untuk menjadi sebahagian daripada trend global merupakan satu langkah yang bijak.

Ujar beliau, ia bagi menjamin jejak kewangan yang kukuh dalam landskap kewangan negara buat masa sekarang dan pada masa akan datang.

“Satu persoalan penting muncul iaitu, di manakah tahap kedudukan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) kita sekarang dalam meletakkan ESG sebagai sebahagian DNA mereka?

“ESG akan menjadi satu norma pada masa hadapan dan PKS kita perlu bersedia untuk menerima pakai prinsip-prinsip ini dalam operasi harian mereka,” tambahnya lagi.

Kerajaan katanya, termasuk pihak bank dan pihak berkepentingan yang memiliki kemampuan untuk melakukan perubahan perlu memimpin dan mendorong transformasi berterusan PKS. — DayakDaily

Advertisement