‘Walkie-talkie’ permudah kehidupan Penan Data Bila

Phillip (kanan) berehat di dalam hutan sambil berkomunikasi menggunakan 'walkie-talkie' dengan rakan lain.

Oleh Chris Bishop

MIRI, 17 Mac: Efisyen dan murah, radio dua hala atau ‘walkie-talkie’ menjadi alat telekomunikasi mudah bagi masyarakat Penan di Kampung Data Bila di Selaan, Ulu Baram.

Ia digunakan dalam kehidupan seharian dan dibawa kemana sahaja oleh pemiliknya seperti telefon pintar.


Bagi mereka, ia adalah satu alat komunikasi mudah tanpa bayaran bulanan.

“Kita bawa ‘walkie-talkie’ kemana sahaja. Ia berfungsi dalam jarak (radius) 5 kilometer.

“Samada di sawah padi, di dalam hutan berburu, di sungai mencari ikan, ‘walkie-talkie’ memastikan kami sentiasa berhubung,” kata seorang penduduk Philip Sedin ketika di temui di Data Bila semalam.

Menurut beliau, hampir semua keluarga Penan di kampung tersebut memiliki ‘walkie-talkie’ yang dibeli di Bandar Miri dengan harga sekitar RM90.

Kata Phillip, 46, alat telekomunikasi tersebut memastikan mereka sentiasa boleh dihubungi, digunakan semasa memerlukan bantuan dan paling penting semasa kecemasan.

Katanya yang melakukan kerja sampingan sebagai pemandu pelancong di Air Terjun Tekiwit, ‘walkie-talkie’ membantu menambah pendapatan.

“Kita sentiasa menerima pelancong yang datang melawat Air Terjun Tekiwit, maka khidmat kami sebagai pemandu pelancong diperlukan melalui panggilan ‘walkie-talkie’.

“Ia penting, selain itu semasa kecemasan kita boleh mendapatkan bantuan segera menerusi panggilan ‘walkie-talkie’.

“Jika ada hasil tangkapan semasa berburu seperti babi dan kijang, kita gunakan ‘walkie-talkie’ untuk meminta bantuan mengangkat hasil tersebut balik ke rumah,” katanya. — DayakDaily