Wajibkan pendaftaran portal online — Senator Abun Sui

Senator Abun Sui Anyit

KUCHING, 16 Dis: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit menggesa Kerajaan mewajibkan pendaftaran portal online bagi sesiapa yang ingin mewujudkan portal.

Katanya, ini penting supaya pengguna internet tidak terjerumus dalam perangkap mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan pula menyediakan portal untuk kita menyemak sama ada penyedia portal telah berdaftar dengan kerajaan atau tidak?” katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Abun, banyak pihak berminat menghebahkan peluang peluang pekerjaan dan program-program yang disediakan oleh kerajaan.

Ujar beliau, pihak-pihak berkenaan adalah seperti portal-portal yang baru dan tidak dikenali.

“Kita mengalu-alukan jika maklumat yang dihebahkan tersebut adalah benar.

“Tetapi apa yang menjadi persoalan adalah ada pihak yang mengambil kesempatan dari daripada mereka-mereka yang mungkin memang berniat mencari pekerjaan tetapi akhirnya terjerumus dalam perangkap scammers.

“Begitu juga kononnya pihak kerajaan menawarkan bantuan kewangan seperti STR, E-MADANI dan lain-lain tetapi hakikatnya, pihak tersebut juga adalah scammers,” kata Abun. — DayakDaily