Wabak denggi: 42 penduduk sekitar Jalan Datuk Ajibah Abol disahkan dijangkiti setakat ini

Dr Mohd Danial (kiri) ditemubual media mengenai wabak denggi.
Advertisement

KUCHING, Jun 18: Keseluruhannya seramai 42 penduduk sekitar Jalan Datuk Ajibah Abol di bandaraya ini telah dijangkiti denggi sejak wabak penyakit itu dikesan di jalan tersebut dari Mei 14 lepas sehingga semalam (Jun 17).

Mengikut statistik Pejabat Kesihatan Kuching ,dari jumlah itu, seramai 13 orang telah dimasukkan ke wad hospital untuk pemerhatian selama satu hingga dua hari dan kini mereka semua sudah keluar dari wad tanpa ada kes kritikal atau kes kematian.

Pegawai Perubatan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Dr Mohd Danial Salin berkata kawasan deretan kedai lama di Jalan Datuk Ajibah Abol telah dikenalpasti sebagai titik panas kepada wabak denggi itu kerana ada banyak tempat pembiakan nyamuk aedes.

Advertisement

“Wabak denggi di Jalan Datuk Ajibah Abol berpunca dari banyak tempat pembiakan nyamuk aedes samada disebabkan sampah atau air yang bertakung dalam longkang dan tanki septik,” katanya ketika Program Kesedaran dan Pencegahan Wabak Denggi di Dewan Sekolah Kebangsaan Rakyat di Satok, di sini, semalam.

Dr Mohd Danial berkata sehubungan itu Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching bersama pihak berkuasa tempatan sedang melakukan aktiviti kawalan wabak tersebut seperti penyemburan racun nyamuk dan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi mengesan dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

Ketika mengadakan pemeriksaan dari rumah ke rumah itu juga, pihaknya turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM500 kepada penduduk sekitar jalan terbabit yang kediaman mereka dikesan ada tempat pembiakan nyamuk, tetapi beliau tiada butiran jumlahnya.

Selain itu, beliau juga meminta kerjasama penduduk sekitar jalan berkenaan supaya segera mengunjungi klinik atau hospital sekiranya mereka ada mengalami demam bagi dilakukan pemeriksaan lanjut dan tidak menyembunyikannya.

“Ini kerana ketika kami melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah, ada penduduk menafikan yang mereka ada mengalami demam tetapi setelah dilakukan ujian didapati mereka memang positif dijangkiti denggi,” katanya.

Antara tanda dan gejala biasa penyakit denggi adalah demam panas, sakit atau lengguh otot dan sendi, sakit belakang mata, ruam merah, muntah, cirit-birit dan sakit perut. — DayakDaily

Advertisement