VVIP misteri bakal memberi ceramah semasa kempen SUPP Khamis depan

Dr Sim (tiga dari kanan) mengadakan sidang media di pejabat SUPP Cawangan Batu Kawah di MJC Batu Kawah.

KUCHING, Mei 1: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mendedahkan seorang kenamaan VVIP akan memberikan ceramah di kempen parti itu di Kampung Haji Baki, Kota Sentosa pada malam Khamis depan.

Presiden SUPP dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Stampin, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata demikian dan sehubungan itu menjemput orang ramai di bandaraya ini untuk mendengar ceramah VVIP terbabit yang dirahsiakan identitinya.

“Saya bagaimanapun belum dapat mendedahkan siapa (VVIP) itu, akan terdapat beberapa kejutan, jadi saya menjemput orang ramai ke ceramah terbabit di Kampung Haji Baki,” katanya semasa sidang media di pejabat SUPP Cawangan Batu Kawah di MJC Batu Kawah, di sini, hari ini.


Dr Sim berkata akan terdapat dua ceramah pada malam itu dengan salah satunya selepas jam 9 malam bagi memberi peluang mereka yang beragama Islam menunaikan sembahyang terlebih dahulu.

Salah satu papan poster kempen Dr Sim di Batu Kawah yang berkaitan membina rumah untuk penduduk kawasan Parliman Stampin.

Sementara itu mengenai janjinya bagi membina 5,000 rumah mampu milik di kawasan Parlimen Stampin sekiranya menang di kerusi itu, beliau menjelaskan terdapat dua program rumah mampu milik iaitu dibawah kerajaan negeri dan dibawah kerajaan pusat.

“Bagi program rumah mampu milik dibawah kerajaan negeri ada dua jenis iaitu dinamakan Spektra dan Spektra Permata, bagi program terbabit di bawah kerajaan pusat dinamakan Rumah Mesra Rakyat,” katanya.

Menurutnya bagi program itu dibawah kerajaan pusat adalah bagi mereka yang berpendapatan kurang dari RM4,000 sebulan tetapi mesti mempunyai tapak tanah sendiri bagi membina rumah terbabit.

“Pagi tadi kami melancarkan projek rumah mampu milik (dibawah kerajaan negeri di Kampung Bunga Rampai, Jalan Bau), tetapi kamu tidak perlu menyediakan tapak tanah kerana tanah akan disediakan dan harga rumah lebih tinggi dan pembelinya perlu berpendapatan sekurangnya RM4,000 sebulan,” katanya dan sehubungan itu pihaknya bersedia membantu penduduk Parlimen Stampin berpendapatan kurang RM4,000 tetapi ada tanah bagi membina rumah mampu milik dibawah program kerajaan pusat sekiranya BN menang di kawasan itu. ā€” DayakDaily