Rohani menafi fitnah menganjurkan konsert dangdut pada malam Nisfu Syaaban

Rohani (duduk tengah) melakukan perbincangan bersama ahli PBB Maludam.

MALUDAM, Mei 1: Parti pembangkang dikatakan tidak serik menggunakan taktik kotor dengan terus menyebar fitnah dan berita palsu dalam tempoh berkempen di Parlimen Batang Lupar.

Terbaharu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim terpalit dengan fitnah daripada calon PAS apabila mengatakan bahawa jentera BN menganjurkan konsert dangdut pada malam Nisfu Syaaban di sini.

“Majlis yang dianjurkan malam tadi ialah bacaan doa selamat bagi menghormati malam Nisfu Syaaban.


“Sebaliknya calon PAS berkenaan memuat naik status di facebook beliau dengan mengatakan satu konsert dangdut diadakan malam tadi seterusnya mencemari malam yang cukup mulia di kalangan umat Islam, ini merupakan satu fitnah”, tegas Rohani.

Beliau berkata demikian semasa pertemuan bersama jentera Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Maludam dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Lingga Simoi Peri di sini hari ini.

Bagaimanapun, status tersebut telah dipadam oleh calon tersebut mahupun beberapa pengikut beliau.

Dalam pada itu, Rohani menyeru angkatan Pemuda BN untuk turut sama mengekang berita-berita palsu dan fitnah dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa serta secara aktif juga menggunakan medium media sosial bagi menangkis segala kenyataan berunsur fitnah.

Katanya, jentera parti BN di Parlimen Batang Lupar perlu terus menggiatkan gerak kerja kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen berlangsung.

“Tempoh berkempen yang diperuntukkan selama 11 hari perlu dipergunakan sebaik mungkin dengan perancangan yang rapi dalam menyusun atur strategi dan turun padang membantu calon.

“Jadikan setiap kali pilihanraya umpama peperangan yang baru. Peredaran masa berlalu dengan begitu pantas, begitu juga dengan perubahan gaya hidup dan rutin harian.

“Oleh itu, kita juga tidak ketinggalan menggunakan semua strategi baru ini dalam memastikan kemenangan BN dengan majoriti yang lebih besar di Parlimen Batang Lupar,” katanya. ā€” DayakDaily