Vista Perdana Miri contoh perumahan berdaya huni tinggi

Reezal (dua dari kanan) bersama Abang Johari (tiga dari kanan) di Majlis Pecah Tanah Vista Perdana Miri Fasa 3. Foto kredit: Ukas

KUCHING, 24 Nov: Projek Vista Perdana di Miri merupakan contoh kepada projek perumahan yang mempunyai daya huni tinggi, kata Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya, ia bukan hanya boleh dimiliki dan didiami, tetapi satu kawasan perumahan dengan satu eko sistem yang menyeluruh.

“Hari ini bukan soal rumah yang boleh dimiliki dan boleh didiami, tetapi kita memerlukan pembangunan kediaman perumahan yang mempunyai tahap daya huni yang tinggi,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Kumpulan Syarikat Naim (NAIM) serta Majlis Pecah Tanah Vista Perdana Fasa 3 di Miri hari ini.

Majlis telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah Reezal, kementeriannya telah memperkenalkan indek ‘livebality’ dimana pembangunan kawasan perumahan harus menyediakan kemudahan asas termasuk internet.

“Apa guna kita buat projek perumahan rakyat, tetapi mereka tidak ada kemudahan asas seperti kesihatan dan internet. Bagaimana anak-anak hendak belajar.

“Begitu juga yang melakukan busines secara atas talian kerana sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, kebanyakan yang menjalankan busines secara talian bukan golongan T20 mahupun B40, tetapi dikalangan B40.

“Mana mungkin hidup mereka boleh dianggap lestari tanpa mereka dapat melakukan busines dari rumah kalau tiada internet akses,” katanya.

Menurut Reezal lagi, kementerian kini telah memperkenalkan program Jendela PPR dan sebanyak 154 telah dikenal pasti.

Di majlis itu, MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Datuk Hasleen Isnin dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Naim Datuk Hasmi Hasnan.

MoU membolehkan kedua pihak merekodkan persefahaman berhubung dengan cadangan untuk bekerjasama dalam pembangunan perumahan Vista Perdana Fasa 3 di Permai Jaya, Kuala Beram di Miri.

Turut hadir Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, Pengerusi Kumpulan Naim Datuk Amar Abdul Hamed Sapawi dan Pengerusi SPNB Haniza Mohamed Talha. — DayakDaily