[VIDEO] Pasukan udara bomba bantu bawa pendaki gunung cedera ke Hospital Miri

Pasukan udara bomba bersama pendaki yang tercedera dalam helikopter.
Advertisement

MIRI, Mei 30: Seorang pendaki gunung wanita yang cedera selepas dipercayai terjatuh dari Camp 3, Gunung Mulu dekat sini semalam terpaksa meminta bantuan pasukan Udara Bomba dan Penyelamat Sarawak untuk membawanya mendapatkan rawatan ke Hospital Miri, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa, Tan Fung Chu, 35, dari Sabah dilaporkan terjatuh dari Camp 3 gunung tersebut pada pukul 6 petang semalam.

Menurutnya, akibat terjatuh, mangsa mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang dan tidak dapat bergerak.

Advertisement

“Pasukan udara bomba kemudian dihubungi untuk mendapatkan bantuan MEDEVAC untuk untuk membawa mangsa keluar dari tempat kejadian.

“Status terkini, mangsa telah berjaya dinaikkan ke atas helikopter dengan menggunakan teknik ‘winching’,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, pasukan udara bomba kemudian membawa mangsa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi khas itu tamat sepenuhnya kira-kira 10.05 pagi sebaik helikopter mendarat di hospital,” katanya. — DayakDaily

Advertisement