Video aksi tembak dan bunuh bukan berlaku di Miri, kata polis

Royal Malaysia Police logo

MIRI, 9 Feb: Sebuah video berdurasi 29 saat memaparkan dua lelaki bersenjata api menembak seorang pelanggan di sebuah kedai makan yang tular baru-baru ini bukan berlaku di Miri.

Perkara ini dijelaskan Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu hari ini dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai video yang tular tersebut dan polis akan menjalankan siasatan terhadap individu yang menyebarkannya.


“Hasil semakan pihaknya, mendapati video berdurasi 29 saat itu berasal dari negara Ecuador dan berlaku pada tahun 2020,” katanya.

Menurut Alexson, video yang sama itu pernah ditular pada Januari 2020 dan didakwa ianya berlaku di daerah Padawan.

Ketua Polis Daerah Padawan ketika itu telah mengeluarkan kenyataan media mengenai insiden tersebut dan memaklumkan bahawa insiden itu berlaku di Negara Ecuador.

Alexson berkata, kesalahan menyebar video berkenaan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih satu tahun.

Pihak polis turut menasihati masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memviralkan isu-isu sensitif di media sosial yang mana ianya boleh menimbukan kerisauan dan kegusaran serta isu yang boleh mengganggu keharmonian dan kesejahtera bersama.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan perlakuan ini diminta tampil ke Balai Polis yang berdekatan atau menghubungi talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan. — DayakDaily