Varieti padi CL3 tidak sah dan bukan teknologi Mardi

Paddy. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 28 Sept: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menegaskan bahawa varieti padi yang diberi nama CL3 adalah bukan varieti hasil teknologi Mardi.

Mardi mengeluarkan kenyataan itu hari ini susulan sebuah video berdurasi hampir empat minit yang tular di mana seorang pesawah mempromosikan dan menjual benih varieti padi CL3.

Dalam video tersebut, beliau turut menggalakkan pesawah lain untuk menggunakan varieti tesebut.

“Video tersebut turut membandingkan hasil yang diterima daripada varieti CL3 dengan variety CL (Clearfield) dan CL2.

“Varieti CL dan CL2 yang dihasilkan Mardi bertujuan untuk mengawal padi angin yang merupakan ancaman kepada hasil tuaian,” dedah Mardi.


Justeru, Mardi ingin menggesa semua pesawah padi untuk tidak menggunakan varieti yang diberi nama CL3.

Ini adalah kerana varieti padi yang dipromosikan di dalam video tersebut bukanlah teknologi Mardi dan tidak pasti kesahihannya.

“Varieti padi di dalam video tersebut bukan merupakan benih padi yang sah. Pengeluaran benih baka CL hanya dilaksanakan di dalam stesen Mardi.

“Varieti yang dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab berpotensi besar untuk mendatangkan kerugian kepada petani.

“Maka dengan itu, kami menggesa warga petani untuk tidak membeli dan menggunakan benih CL3 seperti yang didakwa,” tegas Mardi. — DayakDaily