Van Kastam bawa tahanan kes dadah terbalik, dilanggar di Jalan Kuching-Serian

Keadaan van JKDM tersebut yang terbalik akibat dirempuh.

KUCHING, 2 Feb: Sebuah van Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak yang membawa seorang tahanan kes dadah, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pikap di lampu isyarat Batu 15 Jalan Kuching-Serian pagi tadi.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, van terbabit membawa seorang tahanan penjara lelaki berusia 33 tahun, dalam perjalanan ke Mahkamah Tinggi Kuching di sini untuk perbicaraan kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, dalam kejadian tersebut, sebuah kenderaan pacuan empat roda (4wd) datang dari Batu 7 menghala ke Pekan Tapah telah merempuh van tersebut sehingga menyebabkan ia terbalik.

“Ketika bergerak lurus di Jalan Kuching Serian berhampiran lampu isyarat Batu 15, pemandu pikap telah melihat lampu isyarat bertukar hijau lalu menukar lorong ke kiri sekali lalu memecut.

“Semasa sampai di lampu isyarat Batu 15, pikap terbabit telah merempuh van berkenaan yang datang dari arah kanan yang sedang bergerak lurus dari Puncak Borneo ke Samarahan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Abang Zainal kemalangan tersebut menyebabkan kenderaan pikap tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala van Kastam berkenaan mengalami kerosakan di teruk bahagian sisi kiri, kanan dan depan.

Pemandu van dan dua lagi anggota Kastam mengalami lebam.

Manakala tahanan terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily