KUCHING, Jan 21: Kerajaan negeri meminta pihak penganjur pertandingan sukan gusti lengan yang semakin popular di negeri ini supaya sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan peserta ketika bertanding bagi mengelakkan mereka tercedera.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Professor Dr Sim Kui Hian berkata demikian supaya peserta pertandingan terbabit terus bebas dari kecederaan dan dapat mengekalkan nama baik negeri ini sebagai lokasi terbaik bagi penganjuran sukan itu yang setiap tahun semakin ramai disertai warga tempatan dan warga asing.
“Maka amat penting bagi kita terus menganjurkannya secara teratur, sistematik dan sentiasa memikirkan keselamatan (peserta ketika bertanding). Kami tidak mahu kamu (peserta) di sini sehingga ada yang terpaksa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) yang sudah cukup sibuk dengan ramai pesakit,” katanya ketika merasmikan penutupan Pertandingan Gusti Lengan Kebajikan Antarabangsa Piala Premier 101 Kali Ke-3 dianjurkan Persatuan Sukan Gusti Lengan Sarawak (SASA) di Premier Commercial Square 101, di sini, semalam.
Dr Sim berkata Pertandingan Gusti Lengan Kebajikan Antarabangsa Piala Premier 101 itu telah disertai seramai 93 peserta sahaja pada tahun pertama dianjurkan, diikuti seramai 250 peserta tahun lepas manakala tahun ini seramai 550 peserta dari 20 negara serta tahun hadapan dijangkakan mendapat sehingga 1,000 peserta dari lebih banyak negara.
Berikutan itu, beliau akan meminta Kementerian Pelancongan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak supaya memberikan lebih banyak peruntukan bagi SASA menganjurkan pertandingan sukan itu lagi tahun hadapan.
“Ini kerana peruntukan itu sebanyak RM40,000 bagi menganjurkan pertandingan kali ini adalah agak kecil jumlahnya dan saya juga akan meminta kementerian terbabit memasukkan acara pertandingan sukan gusti lengan antarabangsa ini dalam kalender pelancongan negeri,” katanya.
Disamping itu, Dr Sim menasihatkan SASA dan persatuan sukan berasaskan kekuatan fizikal negeri ini supaya mencari bakat tempatan yang berusia dibawah 18 tahun bagi diberikan latihan supaya apabila mereka mencecah usia 18 atau 19 tahun yang merupakan usia kemuncak kekuatan fizikal tubuh manusia, akan dapat menjadi juara pertandingan sukan itu dan mengharumkan nama negeri ini. — DayakDaily