Buruh binaan maut dalam nahas jalan raya

Kad pengenalan mangsa.

SERIAN, Jan 21: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan di KM62 Jalan Kuching-Sri Aman di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 tengah malam itu, mangsa, Devillie Mindeng, 33, dari Kampung Slabi Sangkam disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, mangsa meninggal dunia kira-kira 10 jam selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Serian di sini.


Menurut beliau, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kuching menuju ke arah Sri Aman.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kemalangan, motosikal mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di situ.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepalanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan tersebut.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada ahli keluarganya, mangsa bekerja sebagai buruh binaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily