Utamakan keselamatan dan kesihatan semasa Aidilfitri — Timbalan Premier

Awang Tengah bersama penerima-penerima sumbangan di Limbang. Foto: Ukas

KUCHING, 17 April: Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengingatkan rakyat Sarawak agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Awang Tengah memberitahu, setiap masyarakat harus berwaspada dalam membuat persiapan perayaan agar tidak mengudang sebarang musibah.

“Sambil kita berseronok dan bergembira merayakan Hari Raya, dalam masa sama kita harus menjaga diri dari segi kesihatan.


“Kadang-kala, disebabkan kemeriahan itu, kita membuat banyak persiapan seperti memasang lampu tanpa menyedari ia akan mengakibatkan lebihan beban (‘overload’), dan ini boleh mendatangkan bahaya.

“Jadi kita harus sentiasa berwaspada, rayakan sambutan dengan penuh kegembiraan dan juga dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (Lakil) di Masjid Jannatul Firdaus Baha Limbang pada Ahad (16 April).

Pada majlis tersebut, Awang Tengah yang juga Adun Bukit Sari telah menyempurnakan pemberian sumbangan sempena Hari Raya daripada Lakil.

Seramai 40 imam dan bilal masjid, 156 imam dan bilal surau, 168 ibu tunggal, 64 anak yatim dan 31 orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan.

Turut menerima sumbangan ialah ahli-ahli lembaga, pekerja dan juga pembantu Lakil. — DayakDaily