Uskup Agung Katolik bersyukur atas keprihatinan orang ramai terhadap kesejahteraannya

Poh ( kiri) melihat rakaman video dalam telefon pintar mengenai kejadian ganguan terhadapnya ketika keluar dari Mahkamah Persekutuan bersama warga media yang membuat liputan majlis perasmian St Joseph’s International School.
Advertisement

KUCHING, Mac 3: Uskup Agung Gereja Roman Katolik Kuching, Simon Poh, meluahkan rasa bersyukur menjadi anak Sarawak kerana ramai penduduk negeri ini mengambil berat terhadap dirinya selepas mengalami insiden diganggu sekumpulan individu ketika keluar dari perkarangan Mahkamah Persekutuan, di sini, baharu-baharu ini.

“Ini sehingga telefon saya kerap kehabisan bateri waktu pagi, tengahari dan malam sejak dua tiga hari ini, kerana terlalu ramai menghantar pesanan atau menghubungi saya,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian St Joseph’s International School di Jalan Tan Sri Datuk William Tan, Padungan, di sini, hari ini.

Sekolah terbabit dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan juga dihadiri Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian serta Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Swasta St Joseph, Tan Sri Datuk Amar Leo Moggie.

Advertisement

Poh mengakui tidak mampu membalas kesemua pesanan dan panggilan telefon kepadanya sejak kejadian itu dan menyifatkan keperihatian ramai pihak terhadap dirinya adalah satu rahmat menjadi anak Sarawak.

Disamping itu, banyak pihak yang menemuinya termasuk ahli gereja terbabit juga memintanya tidak membalas terhadap insiden itu dengan cara kemarahan ataupun cara yang ganas sebagai seorang anak Sarawak.

“Disebabkan itu saya gembira menjadi anak Sarawak. Kita bertuah menjadi anak Sarawak dan itu adalah satu rahmat,” katanya.

Poh mengulas kejadian di Mahkamah Persekutuan Kuching, Selasa lepas dimana sekumpulan individu menganggunya sebaik beliau melangkah keluar dari Mahkamah Persekutuan Kuching selepas mahkamah membuat keputusan berkaitan permohonan empat individu yang mahu membatalkan status Islam mereka.

Bagaimanapun sekumpulan individu lain termasuk yang beragama Islam telah bertindak melindungi beliau dari diganggu kumpulan individu berkenaan dengan kejadian terbabit telah viral di laman sosial.

Sementara itu, di majlis itu, Poh mendedahkan yang selepas membuka St. Joseph’s International School, pihaknya merancang membuka sebuah sekolah latihan vokasional dinamakan St Joseph Institute Of Technology.

“Sekolah ini adalah bagi memberikan latihan kemahiran vokasional kepada kanak-kanak dari luar bandar yang tiada tempat dituju dan mereka tidak berminat dengan pendidikan akademik,” katanya dan bercadang mendapatkan kawasan tanah membina sekolah terbabit di Kota Samarahan. — DayakDaily

Advertisement