Oleh Chris Bishop
KUCHING, Sept 1: Usaha mewujudkan Taman Burung di Taman Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan diaktifkan semula setelah gagal dilaksanakan.
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, kementeriannya akan mempertimbangkan semula projek tersebut.
“Sepatutnya kita mewujudkan Taman Burung di sini tetapi projek telah gagal dilaksanakan.
“Kita telah mempertimbangkan semula projek ini dan perkara ini telah dibawa kepada perhatian ketua menteri,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke tapak pengambaran Filem Sumpahan Jerunai di Taman DBKU hari
ini.
Tambah Abdul Karim, taman yang terletak di bawah bukit (Bangunan DBKU) adalah sangat cantik dan sesuai untuk aktiviti riadah.
Selain usaha mewujudkan taman burung, beliau juga inginkan kemudahan di taman tersebut dinaik taraf.
“Kita juga boleh mewujudkan tempat perkelahan dan rekreasi untuk para belia kita di sini,” katanya.
Mengulas mengenai Filem White Rajah yang sedang dalam pengambaran ketika ini, Abdul Karim berkata ianya adalah usaha kementerian pelancongan untuk mengembangkan warisan Sarawak.
Katanya, usaha sedang giat dijalankan untuk menjadikan Sarawak destinasi pelancongan utama melalui filem.
“Melalui filem, kita memaparkan tempat-tempat menarik di Sarawak dan sekaligus dapat menarik pengunjung datang ke negeri ini,” katanya. — DayakDaily