Usaha gigih, berterusan, penting untuk lahirkan ramai pelajar luar bandar cemerlang

Jugah diberi penghormatan menyalakan obor sebagai tanda pelancaran hari sukan tahunan SK Nanga Lidong.

LUBOK ANTU, May 3: Dalam aspek membangunkan pendidikan, usaha gigih dan berterusan ibubapa dan guru-guru pasti berupaya melahirkan pelajar cemerlang yang suatu hari nanti, pasti menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Ahli Parlimen (MP) Lubok Antu Jugah Muyang melahirkan hasrat ingin melihat ramai pelajar dari Lubok Antu dan kawasan luar bandar sebagai pelajar cemerlang, bukan sahaja di peringkat sekolah, malah Sarawak ataupun Malaysia.

“Jika kita mampu melahirkan pelajar cemerlang yang dapat menyumbang kepada pembangunan tempat kelahiran mereka, ini sangat menguntungkan untuk jangka masa panjang.

“Justeru, untuk merealisasikan harapan dan wawasan pendidikan, maka salah satu mekanisme yang dapat dilaksanakan ialah dengan merapatkan hubungan sekolah dengan ibubapa melalui Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jugah juga memperingatkan bahawa peranan ibubapa, guru dan masyarakat setempat harus sentiasa terjalin dan kukuh.

“Selain itu, hubungan permuafakatan ini mewujudkan persefahaman dan perkongsian bijak demi kebaikan bersama.

“Sokongan semua pihak adalah asas untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan pendidikan anak-anak bagi menjamin masa depan yang stabil dan seterusnya melahirkan lebih ramai golongan intelektual dan professional pada masa depan,” tambah beliau.

Pada hari sukan tahunan SK Nanga Lidong Engkilili baru-baru ini, Jugah mengumumkan peruntukan sejumlah RM40,000 untuk kegunaan membina bilik sumber sekolah tersebut.

Dia juga turut memperuntukkan RM10,000 untuk kegunaan aktiviti PIBG bersama guru dan pelajar SK Nanga Lidong.

Jugah (tiga kanan) bergambar dengan penduduk Rh Riti Lidong ketika melawat tapak rumah baharu yang sedang dibina.

Sementara itu, Jugah juga melawat Rumah Riti Lidong, Engkilili, semalam (May 2) untuk memantau tapak baharu projek rumah panjang tersebut. Beliau mengumumkan peruntukan RM41,000 untuk membantu penduduk mendirikan rumah panjang baharu mereka.

“Kerajaan persekutuan sentiasa memberi kemudahan terbaik untuk rakyat agar dapat bersama mengecapi kemajuan dan pembangunan yang dirancang dan seterusnya mampu menjana ekonomi yang dapat menaik taraf kehidupan masyarakat luar bandar.

“Adalah menjadi dasar utama kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan di luar bandar bagi merapatkan jurang kemiskinan antara luar bandar dan bandar,” jelasnya. — DayakDaily