Unit Udara Bomba pengkalan Miri berpindah ke Kuching

Ismail (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini.

Chris Bishop

KUCHING, 19 Julai: Unit Udara Bomba (UUB) yang berpengkalan di Miri akan dipindahkan ke Kuching.

Menurut Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Ismail Abdul Mutalib, pengkalan di Miri akan ditutup setelah kerajaan bakal mewujudkan satu pengkalan baharu di Kota Kinabalu.


“Kita sudah mengenalpasti lokasi UUB di Kuching iaitu berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perbarisan Pentauliahan Sijil Sains Kebombaan di Jabatan Bomba Dan Penyelamat Sarawak di Tabuan Jaya.

Manakala di Kota Kinabalu kata Ismail, perbincangan sedang diadakan dengan Kerajaan Sabah untuk mengenalpasti lokasi sesuai.

Terdapat 3 pengkalan UUB di seluruh negara pada masa ini iaitu di Subang, Pulau-Pinang dan Miri.

Unit Udara Bomba Miri adalah satu-satunya pengkalan yang menyediakan perkhidmatan bagi Malaysia Timur.

Ini disebabkan lokasi Miri yang berada di tengah-tengah Sabah, Sarawak dan Labuan akan memudahkan operasi unit ini.

Dalam pada itu, seramai 108 orang pelatih telah berjaya menamatkan Kursus Sijil Sains Kebombaan.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Dato Sri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Sarawak Datu Khirudin Drahman. — DayakDaily