Unit Bergerak Pasukan Vaksinasi Covid-19 Bahagian Kapit memulakan operasi

Unit Bergerak Pasukan Vaksinasi Covid-19 Bahagian Kapit memulakan operasinya,

KUCHING, 14 Jun: Unit Bergerak Pasukan Vaksinasi Covid-19 Bahagian Kapit telah memulakan operasinya secara rasmi hari ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ia khusus untuk melaksanakan vaksinasi kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Simbolik pelepasan pasukan itu telah disempurnakan Adun Pelagus Wilson Nyabong Ijang bertempat di Terminal Bot Ekspres Kapit.


Berdasarkan perancangan, pasukan itu akan melawat beberapa kawasan di kawasan DUN Bukit Goram iaitu Rumah Sigih, Sg Melipis, Rumah Achai, Rumah Rambor dan Rumah Alexson Keling dengan tempat vaksinasi (PPV) adalah SK Melipis.

Selain itu, vaksinasi juga diberikan kepada penduduk di Kampong Sawang, Jalan Melekun, PPV SK Lepong Baleh serta PPV SK Nanga Mujong/Klinik Kesihatan Nanga Mujong di bawah DUN Pelagus.

Mereka akan menggunakan pelbagai pengangkutan seperti bot atau perahu panjang, jalan darat serta pengangkutan udara sekiranya keadaan amat memerlukan.

Difahamkan operasi pasukan bergerak ini akan diteruskan setiap hari mulai hari ini sehingga jumlah penerima yang layak habis divaksinasi.

Berdasarkan tinjauan pada hari pertama pelaksanaan program itu, ia dilihat mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pengambilan vaksin bagi mengekang penularan penyakit Covid-19 dilihat pendorong kepada mereka untuk tampil secara sukarela mendapatkan vaksin.

Justeru, adalah diharapkan agar bekalan vaksin yang diagihkan kepada penduduk di Kapit tidak terputus dan mencukupi untuk mereka yang layak.

Hal ini kerana keadaan geografi di Kapit amat mencabar dan menyukarkan akses pengangkutan terutama di kawasan pedalaman. ā€” DayakDaily