Oleh Dean Adam
LUNDU, Feb 28: Dua ekor anjing pengesan (K9) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak hari ini turut berada di lokasi dalam usaha membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Kampung Stum Muda sejak Ahad lepas.
Bagaimanapun, operasi SAR yang memasuki hari kelima masih gagal mengesan mangsa Polus Deng, 49.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Zainuddin Ngatdemon berkata, operasi SAR yang dijalankan hari ini turut disertai pasukan K9 dengan dibantu seekor anjing pengesan yang diberikan nama Bailey.
Jelasnya, radius pencarian yang dilakukan setakat ini ialah sekitar 3 kilometer (km) dan pasukan SAR dipecahkan kepada dua kumpulan.
“Pencarian juga dibantu oleh penduduk kampung selain pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Bagaimanapun, setakat pukul 5 petang hari ini mangsa masih belum dijumpai,” katanya di sini hari ini.
Zainuddin menambah, operasi SAR dihentikan awal atas faktor cuaca gelap dan operasi akan disambung semula esok.
DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang lelaki dilaporkan selepas dikatakan tidak pulang ke rumahnya di Kampung Stum Muda di sini.
Mangsa dikatakan keluar dari rumahnya sejak pukul 7 pagi, namun tidak pulang semula selepas itu. — DayakDaily