Unimas meminta kerajaan negeri menimbangkan semula cadangan membina jejentas, jejambat

Mohamad Fadzil (tiga dari kiri) dan Peter (tiga dari kanan) menunjukkan Obor APMG 2018 di Dataran Canselori, Kampus Unimas, Kuching.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Jun 25: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) meminta kerajaan negeri supaya menimbangkan semula cadangan pembinaan jejentas dan jejambat di luar kampus universiti tersebut di sini bagi mengatasi masalah kesesakkan lalulintas jalan raya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimas, Professor Mohamad Fadzil Abdul Rahman mengemukakan permintaan itu kerana ketika ini kesesakkan lalulintas di luar kampus universiti terbabit di sini sudah menjadi luar biasa sehingga membimbangkan pihaknya.

“Jika dibandingkan dengan waktu saya mula sampai ke Sarawak pada 1993 dahulu, kesesakkan lalulintas di depan itu (luar kampus Unimas) sekarang sudah menjadi luar biasa. Saya fikir sudah tiba masanya juga bagi kerajaan menimbangkan semula untuk membina mungkin jejantas dan jejambat seperti mana yang ada di Petra Jaya,” katanya ketika mewakili Naib Canselor Unimas bagi menghadiri majlis sambutan Larian Obor Asia Pacific Masters Games (APMG) 2018 di Dataran Canselori, Kampus Unimas, di sini, hari ini.

Advertisement
Keadaan lalulintas jalan raya di luar kampus Unimas di Kota Samarahan yang menjadi semakin sesak.

Larian obor tersebut dianjurkan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) bermula dari Jambatan Batang Sadong membabitkan seramai lebih 50 orang pelari dan obor kemudian diserahkan kepada 50 orang penunggang basikal di Asajaya Town Square yang berbasikal membawa obor itu sehingga ke Dataran Unimas.

Larian Obor APMG 2018 akan berlangsung selama 99 hari dan sejauh 3,908 kilometer melibatkan semua negeri di Malaysia dan akan berakhir di Pulau Pinang pada Sept 8 depan.

Majlis sambutan ketibaan obor itu di Unimas juga dihadiri Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dato Peter Minos dan Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Rashidah Jalaludin yang mewakili Presiden MALA.

Mohamad Fadzil berkata sudah tiba masanya Kota Samarahan yang dahulunya dikenali sebagai Muara Tuang mempunyai kemudahan tersebut berikutan pembangunannya pesatnya ketika ini sebagai Kota Ilmu setelah kerajaan mewujudkan Unimas di sana pada 1992.

“Sekarang pada 2018, kita boleh melihat pembangunan pesat Kota Samarahan; sehubungan itu saya berani menyatakan dan mendakwa disebabkan adanya Unimas, Kota Samarahan dapat pesat membangun seperti yang dapat kita lihat hari ini,” katanya yang juga yakin sekiranya tiada universiti itu, Kota Samarahan tidak akan membangun sepesat dinikmatinya ketika ini.

Sementara itu, Pengerusi MPKS Peter menjelaskan ketika ini pihaknya setiap hari berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari penyelesaian masalah kesesakkan lalulintas di Kota Samarahan yang terlalu cepat membangun.

“Ya, memang kita (Kota Samarahan) membangun terlalu cepat. Ketika ini selain ada Unimas, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra), tidak lama lagi kita juga akan mempunyai satu hub perubatan di sini,” katanya.

Beliau berkata ketika ini Kota Samarahan mempunyai tidak kurang dari 35,000 premis rumah, kedai dan pusat beli belah serta bangunan jabatan dan agensi kerajaan, dan bilangannya semakin bertambah. — DayakDaily

Advertisement