Wanita maut, suami dan anak-anak cedera dalam kemalangan

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan empat kenderaan di KM32, Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya.

KOTA SAMARAHAN, Jun 25: Seorang wanita maut, manakala suami dan tiga anak mereka cedera dalam satu kemalangan berantai membabitkan empat kenderaan di KM32, Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang itu, mangsa, Wilma Roland, 33, disahkan meninggal dunia di Klinik Sadong Jaya akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati nahas itu melibatkan masing-masing sebuah kenderaan jenis Perodua Viva, Perodua Bezza, Perodua Kembara dan Toyota Rush.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Viva yang datang dari arah Kota Samarahan menuju ke Sadong Jaya telah terlibat kemalangan terlebih dahulu dan berada di bahu jalan tersebut.

“Kemudian, pemandu Perodua Bezza yang datang dari arah sama kemudian telah merempuh belakang Perodua Kembara yang dipandu suami mangsa.

“Sebelum itu, Perodua Kembara yang dipandu suami mangsa yang berusia 43 tahun juga terlebih dahulu terlibat dengan kemalangan dengan Toyota Rush di laluan sama,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, pihak polis sudah melawat tempat kejadian serta mengambil rajah kasar dan gambar di tempat kejadian.

Katanya, mangsa yang cedera kini masih menerima rawatan di hospital.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily