KOTA SAMARAHAN, Jun 6: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengagihkan 1,000 bungkus bubur lambuk secara percuma kepada warga universiti berkenaan, hari ini.
Pengagihan sebanyak 1,000 bungkusan bubur lambuk itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman.
Mohd Fadzil berkata, program pengagihan bubur lambuk tersebut merupakan aktiviti tahunan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) melibatkan 19 pusat dan unit di bawah naungan HEP.
Katanya, program seumpamanya juga sempena meraikan dan mengimarahkan lagi kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini.
“Program memasak bubur lambuk itu telah dilakukan secara gotong royong oleh kakitangan HEP seawal pukul 8 pagi bertempat di Laman Nona Aras LG, Bangunan HEPA.
“Aktiviti ini juga dapat mengalakkan semangat gotong-royong dalam kalangan warga UNIMAS sekaligus mengalakkan amalan bersedekah,” katanya di sini hari ini.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pembangunan Pelajar, Profesor Siti Raudzah Ghazali, Pengarah Pejabat Canselori dan Hubungan Antarabangsa (UNIMAS Global), Azlan Ramli, Pengarah Pusat Sukan UNIMAS, Profesor Madya Dr Azhaili Baharun, Dekan-dekan dan Ketua-ketua PTJ UNIMAS.
Mohd Fadzil menambah, program sama juga diyakini dapat mengimarahkan bulan Ramadan dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga UNIMAS khasnya.
“Justeru, saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Sepanjang bulan Ramadan ini, kita bersyukur kerana dapat menunaikan tanggungjawab dalam menyumbang dan membantu orang ramai menyediakan juadah berbuka puasa,” ujarnya lagi. — DayakDaily