Unimas, DEH menandatangani MOA untuk memulakan program persijilan robotik dan automasi

Manyin (tengah) menyaksikan majlis pertukaran dokumen MOU antara wakil Unimas Dr Mohamad Kadim (dua dari kiri) dengan wakil DEH Ling bagi memulakan program persijilan robotik dan automasi, di Pusat Konvenysen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat.

KUCHING, Mei 14: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mula menceburi bidang robotik dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Digital Economy Hub (Sarawak) Sdn Bhd (DEH) bagi memulakan program persijilan robotik dan automasi, di Pusat Konvenysen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, di sini, hari ini.

MOA terbabit telah ditandatangani Naib Canselor Unimas Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dengan Pengerusi DEH Dato Stanley Ling Tiung Ling dengan disaksikan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Timbalan Naib Canselor Unimas Professor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif DEH Eddie Wee Teck Tong.

Menurut kenyataan media Unimas, program robotik dan automasi terbabit bagi menampilkan pengunaan satu tangan robot desktop pelbagai fungsi yang boleh dipasang alatan akhir berbeza.


“Tangan robot terbabit boleh melakukan pelbagai fungsi seperti lukisan 3D, pengukiran laser, menulis dan melukis,” katanya.

Melalui kerjasama ini, Unimas diutamakan dan dilengkapkan bagi mengunakan inisiatif Ekonomi Digital kerajaan Sarawak kearah merealisasikan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dalam pendidikan dan pengilangan, sementara DEH komited berdedikasi kepada agenda Sarawak yang mahu mendigitalkan pelbagai sektor ekonominya.

“Selain itu, Unimas juga komited menyediakan negara ini dengan pemimpin, pengurus, ahli sains, dan pakar teknikal dalam komunikasi digital dan teknologi kreatif,” katanya.

Menurutnya, Unimas kini juga sudah berkemampuan menguruskan segala cabaran rumit masa depan negeri ini kearah IR 4.0 dalam pengajaran dan penyelidikan semasa mengalukan pengunaan Ekonomi Digital. ā€” DayakDaily