Unimas bantu kerajaan bangunkan kawasan luar bandar — Uggah

Uggah (tengah) hadir ke Majlis Konvekesyen Ke 27 Unimas.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, 7 Nov: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan pembangunan di kawasan luar bandar, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya, Unimas yang telah wujud selama 30 tahun begitu menekankan pemerkasaan komuniti di kawasan luar bandar.

“Unimas melaksanakan pelbagai pelan strategik dan juga projek berasaskan komuniti yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Advertisement

“Ia membuka ruang dan peluang untuk mengadakan jaringan kerjasama dengan keterlibatan komuniti melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi teknologi yang memberi impak yang besar kepada kehidupan masyarakat,” ujar Uggah.

Beliau berkata demikian di Majlis Konvokesyen Ke 27 Unimas di DeTar Putra hari ini.

Tambah Uggah yang juga Pro Canselor Unimas, Kerajaan Negeri komited dalam merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Katanya, salah satu pemboleh ubah penting dalam PCDS 2030 adalah pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Justeru, bagi menjayakan sasaran tersebut, kerajaan negeri telah merancang untuk menawarkan pendidikan percuma melalui biasiswa Kerajaan Negeri di peringkat universiti dan pusat pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak menjelang tahun 2026,” ujar beliau.

Ujar beliau lagi, fokus pembangunan modal insan kelas pertama turut dimulakan di peringkat awal persekolahan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan Sarawak sedang berbincang dengan kerajaan pusat untuk mendapatkan autonomi penuh dalam bidang pendidikan.

“Saya percaya, dasar pendidikan yang stabil serta kemudahan yang baik dapat meningkatkan prestasi pendidikan anak-anak di negeri ini,” jelas Uggah. — DayakDaily

Advertisement