Unifor serah dana fasa 1 berjumlah RM38.7 juta melibatkan 298 permohonan

Wakil-wakil rakyat merakamkan kenangan bersama Uggah pada majlis penyerahan dana UNIFOR.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Sept 2: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) hari ini menyerahkan sejumlah RM38.747 juta dana bantuan kepada 52 wakil rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, ia merupakan dana bantuan fasa pertama 2020 dan melibatkan 298 permohonan yang telah diluluskan.

“Ini kali pertama kita bagi dana untuk tahun ini, akibat isu Covid-19. Selepas ini kita ada baki kira-kira RM12 juta lagi yang akan diagihkan dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selesai majlis penyerahan dana Unifor kepada badan agama-agama lain di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Kerajaan Sarawak telah meluluskan dana sebanyak RM50 juta tahun ini melalui Unifor bagi tujuan pembinaan, penambahbaikkan dan baikpulih rumah ibadah agama-agama lain.

Terdahulu dalam ucapannya, Uggah berharap dana itu dapat membantu menyiapkan projek pembinaan atau penambahbaikkan gereja di kawasan masing-masing.

Katanya, pegawai-pegawai dari Unifor akan turun padang untuk memantau projek dan memastikan projek dapat disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan.

“Kita minta wakil-wakil rakyat bersama membantu Unifor di mana terdapat masalah apabila ada badan agama-agama ini memerlukan RM1 juta untuk membina bangunan tetapi memohon RM3 juta dan wakil-wakil rakyat sokong juga.

“Isu lain ialah ada gereja keahliannya cuma 100 dan ada juga sampai 10,000. Unifor memerlukan bantuan wakil-wakil rakyat untuk menentukan jumlah dana bantuan yang benar-benar diperlukan oleh gereja berkenaan,” ujar Uggah.

Dalam pada itu beliau berkata kerajaan negeri pada tahun 2017 memperuntukkan RM15 juta untuk tujuan tersebut.

Manakala bagi tahun 2018, RM20 juta telah diluluskan dan peruntukan ini telah meningkat kepada RM30 juta pada tahun 2019.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Pengarah Unifor Richard Lon. — DayakDaily