Covid-19: 6 kes positif baharu manakala 4 individu pulih

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 2 Sept: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat enam kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Katanya, ia melibatkan dua kes penularan dalam negara dan empat kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,360 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 153 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, semua dua kes penularan dalam negara adalah melibatkan warganegara manakala empat kes import pula melibatkan semua bukan warganegara.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 128 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak empat kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,079 kes atau 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat empat kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. — DayakDaily