Undi 18 dilaksanakan secara tergesa-gesa, kata Abdul Karim

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, 15 Jun: Undi 18 yang berkuatkuasa mulai 3 Januari 2022 dilaksanakan secara tergesa-gesa, kata Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Inilah pandangan peribadi saya, kita sepatutnya terlebih dahulu mencari kaedah penyelesaiannya.

“Saya rasa sepatutnya ada silibus sivik di sekolah untuk pelajar tingkatan 3, 4 dan 5 yang kita pelajari dahulu dan kini tiada lagi.


“Silibus ini memberitahu berkenaan dengan pembinaan negara, bagaimana pilihanraya diadakan, apa tanggungjawab kerajaan negeri dan persekutuan, kabinet dan sebagainya.

“Kebanyakan golongan belia tidak tahu berhubung perkara ini dan mereka disuruh untuk pergi mengundi,’ kata Abdul Karim pada sidang media selesai Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia Sarawak 2022 di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim, bila Rang Undang Undang Undi 18 dibawa ke parlimen ia telah menerima sokongan sebulat suara dengan tiada pihak yang berani untuk membantah.

Oleh kerana itu katanya, ia telah menjadi undang-undang dan adalah menjadi tanggungjawab pihak tertentu seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti memerintah serta parti pembangkang untuk membimbing mereka yang telah mencapai umur 18 tahun.

Katanya, ini adalah untuk memastikan mereka menjadi pengundi yang bertanggungjawab, memilih calon atau parti yang difikirkan mampu mentadbir.

“Kita lihat anak-anak muda tidak minat kepada politik, tetapi apabila pilihanraya semakin dekat dan golongan ini terdedah kepada sosial media.

“Di sinilah kegusarannya jika tiada penerangan samada berkenaan tanggungjawab serta peranan sebagai pengundi, golongan belia ini mudah dipesong oleh kenyataan yang tidak betul.

‘Sosial media ada yang betul ada yang tidak, apa yang kita lihat dalam WhatsApp dalam Facebook dan sebagainya bukannya semua betul,” kata Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan.

Pada sidang media yang sama, beliau berkata jumlah pengundi di Sarawak telah bertambah sebanyak 600,000 dengan pelaksanaan Undi 18.

Secara kasar ujar Abdul Karim, jumlah pengundi bagi setiap kawasan akan meningkat sebanyak satu pertiga.

“Bagi kawasan saya iaitu Asajaya, pertambahan undi adalah sebanyak 5,700, manakala Parlimen Kota Samarahan sebanyak 31,000 pengundi,’ jelas beliau. — DayakDaily