UMP jalin kerjasama dengan Sarawak bangun bandar pintar, kampus pintar di Pahang

Abang Johari (tiga dari kanan) menerima kunjungan hormat dari rombongan UMP. Foto: Ukas

KUCHING, 7 Mac: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) Holdings Sdn Bhd di pejabat beliau, Wisma Bapa Malaysia.

Rombongan tersebut diketuai Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), kunjungan adalah untuk mengambil maklum berhubung perkembangan serta atur cara konsep ‘Bandar Pintar’ yang dilaksanakan di peringkat Kerajaan Sarawak.


Semasa ditemui media, Naib Canselor UMP Profesor Dato’ Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, sebagai Kampus Pintar, UMP akan terus melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan ‘Bandar Pintar’ menerusi kaedah yang digunakan di Sarawak.

Sehubungan itu jelasnya, kerjasama dengan Sarawak amat diperlukan memandangkan konsep seumpama itu juga akan digunakan untuk daerah-daerah di Pahang pada masa akan datang.

“Untuk kunjungan kali ini kita mahu melihat bagaimana kita dapat bekerjasama untuk terus melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan ‘Smart City’ kerana kita akan menggunakan kaedah di sini di ‘Smart Campus’ di UMP dan seterusnya di daerah-daerah ‘Smart City’ di Pahang,” katanya.

Ini merupakan kunjungan hormat kali kedua UMP ke atas Abang Johari yang mana kunjungan pertama sebelum ini UMP bersama Sarawak Multimedia Authority (SMA) turut membincangkan mengenai perkara berkaitan. — DayakDaily