Liputan jalur lebar 4G di Parlimen Bintulu 85.29 peratus

File photo depicting a smartphone.

KUCHING, 7 Mac: Liputan jalur lebar 4G di kawasan Parlimen Bintulu telah meningkat kepada 85.29 peratus pada suku keempat 2021.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif kerajaan melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) telah menambah baik infrasktruktur digital di kawasan tersebut berbanding jumlah 72.34 peratus sebelum pelaksanaannya pada suku kedua 2020.

“Manakala, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak telah meningkat kepada 82.86 peratus pada suku keempat 2021 berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan Jendela,” katanya.


Beliau berkata dalam jawapan bertulis sebagai menjawab soalan MP Bintulu Dato Sri Tiong King Sing di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Berhubung usaha kementerian untuk menambah baik sistem rangkaian Internet di kawasan Kuala Serupai pula, Annuar menjelaskan sebuah menara kini sedang dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G di kawasan berkenaan.

“Kerja-kerja naik taraf ini turut merangkumi penyambungan bekalan elektrik daripada Syarikat SESCO Sdn Bhd dan ianya dijangka siap pada Jun depan,” tambahnya. — DayakDaily