This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
BINTULU, 12 Jun: Jika anda penggemar ulat tinduh, ia boleh diperolehi hampir setiap hari di Tamu Bintulu.
Tinjauan DayakDaily mendapati, terdapat beberapa gerai menjual tinduh atau ulat mulong segar (masih hidup) dengan harga RM10 bagi 20 ekor.
Menurut Umang (bukan nama sebenar) yang merupakan penjual di tamu tersebut, tinduh yang merupakan makanan eksotik penduduk tempatan diperolehi beliau dari kawasan Segan di Sebauh, Bintulu.
“Dalam seminggu, mungkin ada tiga kali saya membawa tinduh untuk dijual di tamu ini.
“Sekali bawa, ada lebih 300 tinduh yang dijual mengikut saiz, kebiasaannya 20 atau 25 ekor dengan harga RM10,” katanya.
Menurut Umang lagi, tinduh atau ulat sago yang terkenal di kalangan masyarakat Melanau dan Iban ini sangat laku dan sentiasa habis.
Katanya, kadang-kadang seorang pengunjung membeli sehingga 40 ke 60 ekor.
Terdapat pelbagai cara untuk memasak tinduh ini dan yang popular adalah masak kicap.
Ada penggemar memakan ulat ini ketika ia masih hidup, tak perlu dimasak.
Selain itu, Umang juga menjual ikan baong yang diperolehi di Sungai Segan dengan harga RM40 sekilogram.
Beliau juga menjual daun sabong segar yang merupakan satu lagi makanan penduduk tempatan. — DayakDaily