Ular tedung ditangkap selepas ditemui di belakang taska Tudan

Seekor ular tedung hitam sepanjang satu meter sedang ditangkap oleh anggota APM.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 27 Nov: Seekor ular tedung hitam sepanjang satu meter ditemui melingkar di dalam serumpun tanaman serai di belakang sebuah pusat jagaan kanak-kanak (taska) di Tudan awal pagi ini.

Penemuan itu dibuat salah seorang pekerja taska berkenaan sekitar jam 8 pagi tadi semasa hendak ke bahagian belakang pusat jagaan tersebut.


“Semasa hendak ke kawasan belakang taska, saya terlihat ular tedung menjalar masuk ke dalam tanaman serai tersebut, bimbang keselamatan dua kanak-kanak yang pada waktu itu berada dalam pusat ini, saya segera menelefon pihak Angkatan Pertahanan Awam Miri,” ujar wanita berusia 45 tahun itu.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri Kapten (PA) Usman Harto, tiga anggotanya telah bergerak ke lokasi selepas menerima panggilan dari pengadu sekitar jam 8.09 pagi tadi.

Usaha pasukan APM Miri menangkap reptilia tersebut berhasil dan operasi tamat pada jam 8.48 pagi.

Semasa kejadian, seramai tiga pekerja taska berada di pusat jagaan tersebut bersama dua kanak-kanak. — DayakDaily