Ular sawa ‘jamah’ dua ekor ayam ditangkap

Anggota APM menangkap seekor ular sawa yang 'menjamah' dua ekor ayam.

MIRI, Mac 27: Seorang lelaki yang hendak memberi ayam ternakannya makan terkejut apabila menemui seekor ular sawa sedang ‘menjamah’ dua ekor ayam di dalam sebuah sangkar di Jalan Pujut 2 di sini hari ini.

Panik melihat reptilia itu ‘menjamah’ ayam ternakannya, lelaki terbabit kemudian menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Miri untuk tindakan lanjut.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Kapt. (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan ular sawa itu pada pukul 8.21 pagi.

Katanya, tiga anggota APM kemudian diarahkan ke lokasi tersebut bagi melakukan operasi menangkap ular sawa itu.

“Sebaik tiba di rumah pengadu kira-kira pukul 8.43 pagi, anggota APM mendapati reptilia sepanjang kira-kira 2.5 meter itu masih berada di dalam sangkar ayam ternakan.


“Anggota APM kemudian bertindak menangkap ular itu menggunakan peralatan khas. Operasi tersebut hanya mengambil masa enam minit sebelum reptilia terbabit ditangkap,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hazle menambah, ular sawa itu kemudian dimasukkan dalam sangkar khas sebelum ia dibawa ke pejabat APM Daerah Miri untuk tindakan lanjut.

“Operasi menangkap ular sawa tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 9.04 pagi,” katanya. — DayakDaily