SUPP Batu Kitang menawarkan biasiswa untuk program diploma di LimKokWing, Kuching

Lo (tengah) menyaksikan wakil LimKokWing Institute Of Creative Technology Kampus Kuching (kiri) menyerahkan borang kemasukan ke institut itu kepada wakil SUPP Cawangan Batu Kitang (kanan) selepas mengadakan sidang media di Ibupejabat MPP di Kota Padawan, Kuching.

KUCHING, Mac 27: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Kitang akan menawarkan biasiswa dari RM7,200 sehingga RM24,000 seorang bagi membantu lepasan sekolah anak Sarawak mengikuti sebarang program pengajian
diploma di LimKokWing Institute Of Creative Technology Kampus Kuching tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang dan Pengerusi SUPP Cawangan Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata biasiswa tersebut akan ditawarkan pihaknya dengan kerjasama LimKokWing Institute Of Creative Technology bagi ambilan pelajar institusi pengajian tinggi swasta terbabit pada April dan Julai depan.

“Biasiswa tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu pertama sebanyak 100 peratus atau bernilai RM24,000 seorang yang akan diberikan kepada seramai 10 orang penerima sahaja dengan keutamaan diberikan kepada pelajar dari keluarga kurang berkemampuan,” katanya ketika mengadakan sidang media mengenai biasiswa terbabit di Ibupejabat Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di Kota Padawan, Batu 10, di sini, hari ini.

Lo berkata kategori kedua ialah biasiswa sebanyak 50 peratus atau bernilai RM12,000 seorang yang akan diberikan kepada seramai 70 orang penerima sahaja dengan keutamaan diberikan kepada kalangan pelajar Bumiputera yang memerlukan bantuan kewangan mengikuti program diploma di institusi pengajian tinggi swasta terbabit.

“Manakala kategori ketiga ialah ialah sebanyak 30 peratus atau bernilai RM7,200 seorang yang akan diberikan kepada seramai mungkin pelajar anak Sarawak yang memerlukan bantuan kewangan bagi mengikuti program diploma di LimKokWing Institute Of Creative Technology,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mensasarkan sekurangnya seramai 100 pelajar akan menerima biasiswa kategori ketiga itu dan membolehkan keseluruhannya seramai 180 orang pelajar akan menerima biasiswa itu tahun ini yang dianggarkan mencecah RM1.8 juta.

Lo berkata lepasan sekolah dan mereka yang berminat mengikuti program diploma di LimKokWing Institute Of Creative Technology Kampus Kuching hanya perlu sekurangnya mendapat kredit bagi tiga matapelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya borang permohonan mendapatkan biasiswa terbabit boleh diperolehi dari Pusat khidmat SUPP Batu Kitang di Batu 6 atau di Ibupejabat SUPP dan mereka yang perlu lebih banyak maklumat bolehlah menghubungi Gerald Goh di talian 019-8165368 atau menghubungi Lim KokWing Institute Of Creative Technology Kampus Kuching.

Disamping itu, Lo yang juga Pengerusi MPP mendedahkan dari Julai 27 tahun lepas sehingga semalam, keseluruhannya sebanyak 22 kes kawasan disahkan positif virus rabies telah dikesan di kawasan MPP.

Katanya yang terbaharu pada Mac 17 lepas iaitu di Jalan Ming Chung, Loti Kong dan Jalan SJK Chung Hua Sejijak A, Batu Kawa dan juga pada Mac 15 lepas di Institut Pertanian Sarawak, Kilometer 20, Jalan Kuching-Serian.

“Sehubungan itu penduduk bandaraya ini perlu mengambil serius wabak ini dengan memelihara anjing mereka dengan baik tanpa membiarkannya berkeliaran di luar rumah dan segera membawa haiwan itu berjumpa doktor haiwan sekiranya ada tanda dijangkiti rabies,” katanya.

Beliau juga mendedahkan kawasan MPP selepas ini akan menerima peruntukan sebanyak RM3.5 juta bagi melaksanakan tiga projek utama iaitu pembinaan lampu jalan di Jalan Landeh yang menelan kos sebanyak RM500,000 dan dua projek mitigasi banjir bernilai RM3 juta.

Katanya ketika ini keseluruhannya peruntukan sebanyak RM13.3 juta membabitkan 41 projek sudah diluluskan dan sedang dilaksanakan di MPP dengan sebanyak 35 projek itu adalah berkaitan menurap semula jalan raya. — DayakDaily