Ular sawa di bawah reban ayam ditangkap

Anggota APM menunjukkan ular sawa yang ditangkap.

SIBU, April 15: Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu berjaya menangkap seekor ular sawa dalam satu operasi khas di Jalan Gambir, Lorong 5 di sini malam tadi.

Reptilia sepanjang kira-kira 1.8 meter dan seberat 5 kilogram itu ditangkap pada pukul 11.24 malam.

Jurucakap APM Sibu, Kpl (PA) Jaffry Asai berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.35 malam.


Katanya, sejurus menerima maklumat itu, empat anggota APM telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi pada pukul 10.57 malam, anggota APM mendapati terdapat seekor ular sawa di bawah reban ayam milik pengadu.

“Anggota APM kemudian bertindak menangkap reptilia tersebut dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jaffry menambah, anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap reptilia itu.

Katanya, ular itu tidak bertindak agresif ketika anggota APM menangkap reptilia tersebut.

“Ular sawa itu kemudian dimasukkan ke dalam guni sebelum dibawa ke PKOD untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. — DayakDaily