UiTM Sarawak merancang mengambil pelajar asing dari Libya dan China mulai tahun ini

Jamil (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai karya seni pelajar ketika melawat Pameran Seni Pelajar Tahun Akhir Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (REQASENI V.13 2019, di UiTM Sarawak Kampus Samarahan.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Jan 16: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak merancang mengambil pelajar asing dari negara Libya dan China bagi mengikuti pengajian ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah di kampusnya mulai tahun ini.

Rektor UiTM Sarawak, Professor Dato Dr Jamil Hamali berkata demikian berikutan universiti itu sudah membenarkan semua cawangan negerinya termasuk UiTM Sarawak mengambil pelajar asing dan setakat ini pihaknya sudah mula didatangi agen pengambilan pelajar asing dari dua negara terbabit.

“Pagi tadi saya telah dikunjungi agen berkenaan yang mahu membawa pelajar dari Libya dan negara Timur Tengah lain untuk belajar di sini dalam pelbagai bidang pengajian peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Pameran Seni Pelajar Tahun Akhir Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (REQASENI V.13 2019, di UiTM Sarawak Kampus Samarahan, di sini, hari ini.

Advertisement

Pameran tiga hari terbabit sehingga Januari 18 depan diadakan di Galeri Reqaseni, Pusat Pelajar UiTM Sarawak dengan seramai 10 pelajar dari Jabatan Grafik dan Media Digital mempersembahkan kerja seni bertemakan ‘Intuition’ dan boleh dikunjungi orang ramai secara percuma dari jam 10 pagi sehingga 5 petang.

Jamil (duduk tengah) bersama pelajar-pelajar yang mempersembahkan karya seni mereka pada Pameran Seni Pelajar Tahun Akhir Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (REQASENI V.13 2019, di UiTM Sarawak Kampus Samarahan.

Jamil Hamali berkata pada minggu yang lepas pula beliau dikunjungi agen pengambilan pelajar asing dari China yang mahu menghantar pelajar dari universiti terkemuka negara terbabit mengikuti pengajian peringkat ijazah yang sama di UiTM Sarawak.

“Ini kerana universiti terkemuka di China yang mahu meningkatkan ‘ranking’ (kedudukan) mereka, perlu mempunyai rakan universiti di luar negara yang mempunyai reputasi baik, jadi mereka telah memilih UiTM,” katanya.

Ini kerana UiTM bukan sahaja ada ramai pensyarah berkelayakan malahan banyak program pengajiannya yang baik dan diiktiraf badan antarabangsa disamping Kementerian Pendidikan mahu menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi peringkat antarabangsa.

Jamil berkata pihaknya bagaimanapun belum lagi menentukan bilangan pelajar dari Libya dan China yang akan diambilnya sebagai kumpulan pelajar asing yang pertama menuntut di kampus UiTM Sarawak tahun ini.

“Ini kerana semuanya akan bergantung samada mereka layak atau tidak mengikut syarat ditetapkan Kementerian Pendidikan dan universiti ini dan ini penting bagi menjaga kualiti graduan UiTM Sarawak,”katanya.

Katanya selain pengajian peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah, UiTM Sarawak juga bercadang menawarkan pengajian jangka masa pendek selama seminggu atau beberapa bulan dalam bahasa Inggeris dan pengurusan halal kepada pelajar asing mulai tahun ini. — DayakDaily

Advertisement